Lembaga Pengelola Sekolah SRI Johor Bahru telah secara rasminya menubuhkan Sekolah Menengah Islam Johor Bahru (SMIJB) pada bulan Januari tahun 2012.
Penubuhan SMIJB ini adalah bagi menawarkan kesinambungan pembelajaran dan menyediakan pilihan pendidikan peringkat menengah kepada masyarakat. SMIJB menggunakan silibus pendidikan arus perdana Kementerian Pendidikan Malaysia, selain menawarkan program Hafazan Al Quran yang bertujuan memberikan nilai tambah kepada para pelajar berdasarkan sokongan dan permintaan daripada masyarakat setempat di Johor Bahru dengan hasrat untuk terus memakmurkan tanah waqaf pendidikan ini.
Pada peringkat awal penubuhan, SMIJB bermula dengan hanya 29 orang pelajar tingkatan 1 pada tahun 2012. Jumlah pelajarnya bertambah dari masa ke semasa sehingga kini terdapat seramai lebih 40 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 yang bersekolah di sini.
Pelbagai inisiatif telah diusahakan oleh pihak pentadbir sekolah bagi menaiktaraf dan menyediakan kemudahan pembelajaran termasuk pembinaan makmal dan ruang kelas pembelajaran tambahan. Perbelanjaan telah dikeluarkan menggunakan sumber kewangan sekolah bagi membaikpulih bangunan demi keselamatan dan keselesaan pengajaran dan pembelajaran.
SMIJB kini telah melangkau 9 tahun penubuhannya dan semakin matang mengorak langkah bagi merealisasikan cita-cita dan amanah dalam melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan berketerampilan yang dilengkapi nilai-nilai Islam yang bersifat wasatiyah di samping pembelajaran abad ke-21.
Senarai pengetua yang telah berkhidmat di SMIJB :
2012 – 2014 : Ustaz Ab. Razak Aripin
2014 – 2016 : Puan Nur Fauzana Abd Rahman
2017 – kini : Ustaz Farhan Ashari