Sejarah Penubuhan

SKUAD PRIHATIN bermula susulan daripada peristiwa tragedi besar yang melanda selatan tanahair yang berlaku pada penghujung tahun 2006. Pada waktu itu idea yang terfikir di minda adalah untuk menghulurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa. Justeru pelbagai usaha dan ikhtiar telah dilakukan untuk merealisasikan niat untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan yang sewajarnya dan pada waktu berada dalam keadaan musibah dan kesusahan. Syukur kepada Allah usaha tersebut yang melibatkan sekumpulan penggerak serta kerjasama daripada pihak ABIM Negeri Johor yang banyak membantu telah berjaya menjayakan usaha tersebut dengan bantuan dapat dikumpul dan disalurkan melalui saluran-saluran yang pelbagai dan telus kepada mereka yang berhak.

Kemudian, bertitik tolak daripada kerjasama tersebut dengan bantuan dan kerjasama penuh ABIM Negeri Johor Skuad Prihatin ditubuhkan secara tidak rasminya dan bernaung di bawah ABIM Negeri Johor iaitu sebuah NGO yang berorientasikan dakwah Islam dan kemsyarakatan.

Dengan projek utamanya iaitu Kempen Sumbangan Seorang Sekampit Beras (KSSSB) dijalankan saban tahun, Skuad Prihatin terus komited bersama ABIM terutamanya dalam projek-projek kemsyarakatan dan bertindak sebagai tulang belakang kepada pelaksanaan program-program yang berkaitan dengan penglibatan individu yang berlatar belakang yang berbeza dari kelompok profesional, mahasiswa, dan lain-lain yang ikhlas menyumbang masa dan tenaga mereka untuk tujuan tersebut. Alhamdulillah, moga Allah akan terus merahmati mereka.

Kini, Skuad Prihatin telah dilancarkan secara rasminya dengan bernaung di bawah ABIM Negeri Johor dengan nama SKUAD PRIHATIN. Bagaimana pun ideanya buat masa ini, ia tidak akan didaftarkan secara rasmi melainkan hanya berkonsepkan kumpulan kesukarelaan yang dibuka kepada umum bagi mereka yang berminat dengan kerja-kerja kesukarelaan ini dan ingin menyalurkan khidmat bakti serta sumbangan kepada masyarakat. Kerana kami di Skuad Prihatin yakin, untuk melakukan amal kebajikan itu tidak perlu diumumkan atau dijadikan sebagai sesuatu yang formal melainkan ia hanya akan menyekat usaha-usaha untuk melakukan amal kebajikan tersebut. Bagaimana pun idea untuk bernaung di bawah ABIM Negeri Johor adalah sebagai kaedah saluran maklumat dan sumbangan, selain sumbangan besar ABIM Negeri Johor terhadap pergerakan Skuad Prihatin yang tidak mengutamakan publisiti dan glamour.

InsyaAllah, dengan bantuan dan kerjasama kalian semua di luar sana yang berminat untuk bersama kami akan mampu menggerakkan Skuad Prihatin agar lebih agresif dan efektif.