Dasar Tarbiyah Jamaah


Dasar Tarbiyyah Jamaah (DTJ) hendaklah diterima sebagai rujukan dan panduan perlaksanaan program-program tarbiyyah Jamaah bagi ketiga-tiga pertubuhan WADAH, ABIM & PKPIM (WAP). Ini seharusnya berlaku di semua peringkat. Program-program tarbiyyah di peringkat negeri juga disaran supaya merujuk dan menyesuaikannya dengan dasar ini. Adalah tidak wajar bagi mana-mana WADAH-ABIM-PKPIM khususnya di peringkat pusat, melaksanakan program tarbiyyah seperti tamrin dan usrah, tanpa terlebih dahulu merujuk kepada DTJ.

Pimpinan utama WAP perlu menentukan semua pimpinan dalam pertubuhan masing-masing mengikuti program-program utama tarbiyyah yang dianjurkan di peringkat pusat khususnya tamrin dan usrah. Perlantikan seseorang ke jawatan-jawatan penting dalam WAP hendaklah turut mengambilkira kekerapan dan kesungguhannya mengikuti program-program tarbiyyah yang diadakan di peringkat pusat dan program-program tarbiyyah yang diadakan di peringkat pertubuhan/organisasi.

Tamrin Pimpinan Jamaah (TPJ): TPJ adalah tamrin yang melibatkan pimpinan utama WAP atau mereka yang terpilih dari peringkat pusat dan negeri. MAKTAB dipertanggungjawab mengendalikan TPJ. Semua pimpinan WAP hendaklah memberi keutamaan bagi menjayakan TPJ melalui penyertaan aktif dalam tamrin ini.

Tamrin-Tamrin Zon:
Tamrin Zon akan diadakan sekali dalam setahun. Negeri-negeri dalam sesuatu zon akan memutuskan negeri yang akan menjadi tuan rumah bagi menguruskan tamrin zon yang berkaitan. MAKTAB akan membantu menyelaraskan perlaksanaan Tamrin-Tamrin Zon.

Tamrin-Tamrin Lain:
Tamrin-tamrin lain seperti Tamrin Pembinaan Pimpinan Pelapis (SAFWAH) dan Tamrin Nuqaba’ atau tamrin-tamrin lain boleh dianjurkan oleh MAKTAB dari masa ke masa mengikut keperluan.

Pelaksanaan tamrin-tamrin dan program tarbiyyah lain (termasuk usrah) yang dianjurkan di peringkat organisasi, seperti Tamrin Qiyadi, Tamrin Hewi-Helwa-Salwa, Tamrin Ahli-ahli Baru, Tamrin Pimpinan Kampus dan lain-lain hendaklah diurus oleh pertubuhan atau organisasi masing-masing. MAKTAB boleh dirujuk untuk pandangan dan nasihat. Untuk tujuan tersebut adalah dicadangkan agar masing-masing organisasi membentuk satu jawatankuasa yang boleh dinamakan sebagai Jawatankuasa Tetap Perlaksanaan Tamrin dan Pemantauan Usrah (JTPTPU) atau nama-nama lain yang sesuai bagi melaksanakan tamrin dan memantau perkembangan usrah masing-masing.

Ketua JTPTPU ketiga-tiga WADAH, ABIM dan PKPIM hendaklah dengan sendirinya menjadi berada sebagai anggota AJK Tetap Perlaksanaan dan Pemantauan Tamrin dan Usrah MAKTAB.

Dua puluh peratus (20%) dari kuliah atau ceramah bagi tamrin pimpinan utama PKPIM hendaklah diisi oleh pimpinan ABIM dan WADAH. Demikian juga dua puluh peratus (20%) dari kuliah atau ceramah bagi tamrin pimpinan utama ABIM diisi oleh pimpinan WADAH. Sementara dua puluh peratus (20%) dari kuliah atau ceramah tamrin WADAH hendaklah diisi oleh mantan pimpinan jamaah atau tokoh-tokoh lain yang difikirkan sesuai. Kelonggaran diberi kepada program-program tarbiyyah yang dilaksanakan oleh MAKTAB di peringkat pusat.

Kandungan program-program tarbiyyah (tamrin dan usrah) di semua peringkat mestilah memberi keutamaan kepada 4 tema utama seperti yang dinyatakan iaitu, Pemahaman fiqh al-harakiyy; Sejarah Kebangkitan Islam di Malaysia: ABIM dan peranan tokoh-tokoh utamanya; Tinjauan perkembangan sosio-politik-ekonomi tanah air vis a vis umat dan agama; dan Tarbiyyah Ruhiyyah: Pemahaman dan Amalan.

MAKTAB bertanggungjawab, melalui JK Tetap Modul Tamrin dan Silibus Usrah, bagi menyediakan modul tamrin dan silibus usrah, khususnya untuk digunakan di peringkat pimpinan masing-masing WAP. WAP disaran mengutamakan modul dan panduan yang disediakan oleh MAKTAB. Peringkat-peringkat lain, dengan persetujuan pimpinan mereka, boleh memanfaatkan panduan, kurikulum dan silibus tamrin dan usrah yang sedia ada atau yang disediakan disediakan oleh MAKTAB dengan menyesuaikannya mengikut keperluan masing-masing.

Kekerapan Program Tarbiyyah:
Tamrin Pimpinan Jamah (TPJ) diadakan sekali dalam dua tahun.
Tamrin Pimpinan masing-masing WADAH, ABIM dan PKPIM, hendaklah diadakan sekurang-kurang sekali dalam setahun.
Tamrin peringkat zon juga hendaklah diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.
Tamrin-tamrin lain yang dilaksanakan di peringkat organisasi akan diputuskan oleh organisasi-organisasi itu sendiri. Sementara usrah hendaklah dijadikan program mingguan atau dwi-mingguan yang wajib.

Muat turun

Dasar Tarbiyah Jamaah (DTJ)

(kemaskini 2019)
dimuatturun dari laman web WADAH
 

Muat turun

Dasar Tarbiyah Jamaah (DTJ)

 (edisi semasa)
dimuatturun dari laman web WADAH