Pengenalan ABIM

 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili salah satu pergerakan belia Islam di Malaysia. ABIM telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pengerusi penaja penubuhannya ialah Ustaz Abdul Wahab Abdullah (Almarhum) dan Setiausahanya ialah Sdr. Fauzi Abdul Rahman (Dato’). Pada 17 Ogos 1972, ABIM telah didaftarkan secara rasmi dibawah Akta Pertubuhan 1966. Manakala pada tahun 2009, setelah pihak kerajaan membuat semakan terhadap dasar belia negara, ABIM telah didaftarkan penubuhannya dibawah Akta Pertubuhan-pertubuhan Belia 2007.

Sebagai sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based), ABIM entiasa memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana (moderate) berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. Walaupun ABIM menangani isu-isu politik, namun ia sentiasa bersikap non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik.

Cita-cita utama ABIM ialah bagi menyumbang secara proaktif pembinaan sebuah masyarakat Islam yang mampu menjadi teras terhadap proses pembinaan negara bangsa Malaysia yang utuh di dalam pelbagai aspek kehidupan. Bagi mencapai cita-cita tersebut, ABIM telah menumpu banyak usaha membangun kerangka faham masyarakat terhadap agama Islam sebagai satu bentuk cara hidup yang menyeluruh serta mempertegaskan prinsip-prinsip masyarakat madani di dalam segala aspek kemasyarakatan, perundangan dan kenegararaan.

Jawatankuasa pengurusan tertinggi ABIM ialah Jawatankuasa Pusat yang diketuai oleh Presiden. Manakala Jawatankuasa Negeri pula ditubuhkan untuk merancang dan menjalankan program-program dakwah di peringkat negeri dan daerah dan diketuai oleh Yang Di-Pertua di setiap negeri dan daerah.

Lambang ABIM berbentuk bulan sabit berwarna hijau dengan perkataan ALLAH dalam tulisan jawi di tengah-tengahnya dan perkataan ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA dalam tulisan Jawi di bawah bulan sabit itu.

Visi ABIM 

Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah

Misi ABIM 

Gerakan Islam yang komprehensif untuk merealisasikan cita-cita Islamiyyah
 

Budaya ABIM 

  1. Budaya Ilmu
  2. Amalan Kerohanian 
  3. Syura & Amal Jama’iy
  4. Memahami Isu-Isu Semasa
  5. Ruhul Jihad Fisabilillah

Objektif Penubuhan ABIM 

  1. Menegak, mengembang dan memperjuangkan cita-cita Islamiah sesuai dengan asasi Al-Quranul Karim dan Sunnah Rasulullah S.A.W.
  2. Menjalankan dakwah Islamiah dengan cara yang progresif kepada seluruh lapisan masyarakat dengan syarat mendapat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Negeri yang berkenaan.
  3. Menggembleng tenaga belia Islam seluruhnya untuk sama-sama bekerjasama memberi bantuan dan sokongan untuk meningkatkan taraf kehidupan dalam semua lapangan termasuk sosial, ekonomi, pelajaran, kebudayaan, falsafah dan teknologi.
  4. Bekerjasama dan mengeratkan perhubungan dengan mana-mana badan yang mempunyai tujuan yang sejajar dengan ABIM tanpa mengira kaum bagi mewujudkan rasa persahabatan dan harmoni di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
  5. Mewakili belia-belia Islam di persidangan-persidangan di dalam dan luar negara.
  6. Menjalankan kegiatan-kegiatan lain yang tidak bercanggah dengan ajaran asasi Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.